Anak Negeri gesa bentang EMAN 2025
Anak Negeri gesa bentang EMAN 2025
Tuaran: Apa sudah jadi dengan pembentangan Enakmen Mahkamah Anak Negeri 2025 (EMAN 2025) yang diumumkan beberapa kali sebelum ini?

Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) mendesak kerajaan negeri memberi kejelasan segera berhubung status pembentangan enakmen tersebut yang sehingga kini belum dipastikan tarikhnya.
Setiausaha Agungnya, Trevor Maringking, berkata walaupun beberapa pengumuman mengenainya telah dibuat sebelum ini, tiada sebarang pengesahan rasmi diterima sehingga kini.
“Proses semakan oleh jabatan-jabatan berkaitan telahpun selesai dan draf enakmen juga sedia untuk dibentangkan.
“Penggal semasa Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) dijangka berakhir hujung tahun ini dan hanya satu lagi persidangan dijadualkan pada Julai ini. Ketiadaan pengesahan rasmi mengenai pembentangan EMAN amat membimbangkan dan tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan, Khamis.
Trevor berkata kerajaan negeri sebelum ini telah mengumumkan penubuhan Jabatan Kehakiman Anak Negeri sebagai sebahagian usaha memperkasa Mahkamah Anak Negeri (MAN) agar setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.
Beliau mengingatkan bahawa komitmen tersebut juga ditegaskan oleh Ketua Menteri semasa Pesta Kaamatan di Tambunan pada 1 Mei lalu, yang mendapat sokongan jelas daripada masyarakat. Namun, katanya, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang bertanggungjawab masih belum mengemukakan hala tuju atau garis masa berhubung pelaksanaan inisiatif itu.
Sebelum ini, Presiden Parti Datuk Henrynus Amin pernah menggesa supaya takrifan “anak negeri Sabah” diperjelaskan secara terperinci, manakala Penyelaras Pantai Barat Parti itu, Dr Edwin Bosi mengetengahkan keadaan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri di Penampang yang dianggap sebagai gajah putih.
Kini, dengan desakan terbaru agar EMAN dibentangkan segera, Anak Negeri akan terus menjadi suara tegas yang menuntut reformasi institusi yang amat bermakna ini dan menolak sikap sambil lewa kerajaan dalam perkara ini. Trevor menegaskan pendirian Anak Negeri bahawa ucapan bukanlah pengganti undang-undang.
“Pemerkasaan institusi Mahkamah Anak Negeri memerlukan pengiktirafan melalui perundangan yang sah, bukan retorik politik semata-mata.
“Sebarang kelewatan atau keengganan untuk membentangkan EMAN ini akan melemahkan keyakinan rakyat dan boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan terhadap aspirasi masyarakat anak negeri Sabah,” tegasnya.
Menurutnya, EMAN 2025 bertujuan menggantikan Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 dengan struktur dan bidang kuasa yang lebih sesuai dengan keperluan semasa.
Katanya, Anak Negeri komited untuk memperjuangkan agar kementerian sedemikian dihidupkan semula oleh kerajaan yang akan datang.
“Sekiranya kerajaan sekarang gagal melaksanakan apa yang telah diumumkan secara terbuka atau gagal menyamai komitmen pentadbiran yang lalu, ia akan dilihat sebagai satu regresi serius dalam pembangunan hak dan tadbir urus anak negeri.
Anak Negeri turut menggesa semua wakil rakyat anak negeri, termasuk yang berada dalam kerajaan, supaya bersama memperjuangkan agar EMAN dibentangkan dan diluluskan dalam masa terdekat.
“Kami akan memastikan suara dan aspirasi komuniti anak negeri terus didengari sehingga EMAN 2025 dibentangkan dan diluluskan, serta maruah institusi Mahkamah Anak Negeri dikembalikan ke tempat yang sewajarnya dalam landskap kehakiman Sabah,” tegasnya.